18 Jan 2015

Menumpah darah di Kota Cinta

Entah apa gamaknya yang ada dalam fikiran Ahmed Merabet ketika dia melangkah keluar dari rumahnya pada hari itu. Mungkin tidak ada sesiapa pun yang akan tahu hingga bila-bila.

Apabila dia mendapat panggilan untuk bertindak terhadap suatu situasi kecemasan, entah apa pula yang tba-tiba bermain di mindanya. Cuma ketika Ahmed, 40, dan rakan setugasnya tiba di tempat kejadian, mereka terserempak dua lelaki bersenjata api keluar dari pejabat majalah mingguan yang pernah digelar bête et méchan (bodoh dan jahat) kerana pendekatan yang diambil penerbitnya.

Selebihnya adalah sejarah.

Ahmed tercedera. Dalam keadaan begitu tidak banyak yang dapat dilakukannya ketika terbaring menahan kesakitan di laluan pejalan kaki tidak jauh dari pejabat Charlie Hedbo (Mingguan Charlie) itu. Dia cuma nampak ada dua lelaki bersenjata sedang menghampirinya.

"Adakah kau nak membunuh kami?" tanya seorang daripada lelaki yang sama sekali tidak pernah dikenali Ahmed.

"Non, c'est bon, chef (Tidak. Tak mengapa, kawan)," balas Ahmed.

Dan sejurus kemudian butir peluru dari senjata api penyerang pun menembusi kepala Ahmed. Dia menghembus nafas terakhirnya di situ.

Angka kematian pun bertambah. Masalahnya, kematian itu bukan sekadar Ahmed atau kakitangan Charlie Hebdo sahaja. Juga bukan terhenti kepada penyerang yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Korban hakiki daripada insiden itu ialah kewarasan.

Ketika Joan Cabu dan rakan-rakannya menyembelih rasional dengan berselindung di sebalik hujah kebebasan bersuara melalui penerbitan tidak waras itu, sesetengah pihak pula menganggap peluru adalah jawapan mudah kepada konflik yang ditimbulkan.

Lebih malang lagi, peluru itu dilepaskan atas nama agama dan Tuhan.

Maka umat Islam yang ada seramai hampir 2 bilion itulah yang menjadi mangsa. Anda, saya dan kita semua. Ketika tekanan dan kekangan sedia ada pun sudah cukup merimaskan, ada pula pihak yang tampil kononnya mahu menjadi pembela.

Kegopohan itu tidak lebih adalah sekadar memberi ‘peluru’ tambahan kepada musuh dan golongan skeptikal untuk memusuhi Islam. Dan Islam terus dipandang dari sisi yang sangat salah.

Isunya di sini ialah emosi. Manusia sangat bertuah kerana dilengkapi emosi. Cuma ia bagaikan sebilah pedang yang sangat tajam dan seseorang yang memiliki emosi mempunyai pilihan untuk menggunakannya mengikut keperluan.

Dua tiga orang pelampau di Paris memilih untuk menjadi pembunuh ketika puluhan juta yang lain memanfaatkannya demi keamanan dan cinta.

Dunia perlukan cinta lebih daripada segala-galanya. Dalam kemelut yang sekian banyak memakan korban ini, manusia perlukan cinta untuk lebih menghargai.

Uniknya, Paris adalah kota cinta. Sekurang-kurangnya begitu bandar raya Perancis itu dikenali. Namun kecelaruan emosi dan kegopohanlah yang menumpahkan darah di Kota Cinta itu. 

Bukan sekadar penyerang Charlie Hebdo. Cabu dan kawan-kawannya gelojoh bermain emosi sendiri dan mempermainkan emosi orang lain untuk mengundang malaikat maut datang menjemputnya mereka di pejabat. Ia adalah tragedi.

- disiarkan dalam harian metro edisi 12 januari 2015

Tiada ulasan: