8 Dis 2014

tentang lelaki pelangi




kami mula mengenali beliau degan curiga. ma'alom-lah dia mengaku tinggal di belanda. di almere. dan setiap kali menulis/mencatat/bersajak di komuniti esastera.com, tulisannya adalah tulisan zaman pak sako. zaman rahim kajai. zaman aziz ishak dan utusan melayu jawi. kata aziz zabidi, tulisan dia tulisan zaman zaaba. tapi lama-kelama'an curiga kami bertukar menjadi yakin dan mesra.

saya masih ingat gambar profil dia di blog kami di esasterawan.net. kalau tak silap gambar dia dan cucu dia. gambar dengan kesan pen-cahya-an yg di-sengaja-kan. tapi saya bukanlah sangat rapat dengan orang ini. kami biasa berborak2 kosong & pernah mengopi bersama. selain pekena nasi kandar yaseem di jalan tar.

ya, kali pertama berjumpa dia datang ke majlis kami. hescom (hadiah esastera.com) di dewan bahasa dan pustaka. dia berseluar oren, berkepala botak licin dan merokok hampir tak putus. pada kepalanya ada kesan pembedahan melintang dari kiri ke kanan.

katanya, dia 'lepasan universiti' anak alam (nota: kalimah lepasan universiti itu saya tambah). selebihnya saya atau dia meng-like status sesama sendiri. saya tahu dia ada prinsip sendiri untuk fb.

dia lelaki pelangi. penuh warna-warni. dan saya selalu senyum apabila terkenang betapa untuk datang menziarahi negara dan kampung sendiri, lelaki ini perlukan pasport. dia anak pahang yg sudah menjadi warga belanda. dan dia khabarnya sendirian di rumahnya di almere. ada anak2 dan cucu tapi tidak tinggal bersama. dia suka belanda kerana kerajaan negara itu lebih berkebajikan. santun menjaga orang tua dan uzur.

baru2 ini dia balik malaya. saya tak tahu. tahu2 kelmarin - sabtu (6 disember 2014) - dia dah terlantar di hospital bentong. berniat menziarahinya esok (8 disember 2014), tapi Allah men-takdir-kan dia berpulang malam sabtu (6 disember 2014). sedih. dia kami panggil pak rahim. dia lelaki pelangi. dia Abdul Rahim Nazar. al-fatehah.

Tiada ulasan: