23 Feb 2012

tentang sasterawan dan sahabat itu




Kadang-kadang bukan ada apa-apa pun. Dia sekadar mahu beramah, mungkin. atau mengisi masa lapang bersendirian menghirup teh tarik panas bersulam capati, roti canai atau hidangan lain yang seumpama dengannya selepas seharian bekerja. tempatnya adalah sebuah restoran mamak sederhana tidak jauh dari bangunan lama hospital besar alor setar.

daripada dia, semakin ramai rakan penulis yang bergiat dalam komuniti sastera siber e-sastera tahu kewujudan restoran pokok ceri.

Dia ialah Sabri Hashim, penulis kelahiran Kedah yang dikenali juga – di kalangan aktivis e-Sastera – sebagai Brirasa.

Dia – Brirasa itu – bermula sebagai seorang lelaki biasa. Barangkali tidak keterlaluan jika dikatakan dia agak malu-malu di peringkat awal penulisannya di e-Sastera sebelum ramai rakan melihat ada sesuatu yang istimewa padanya.

Bekerja dengan Jabatan Veterinar Kedah, Brirasa ada banyak kelebihan.

Pertama, dia mempunyai pengetahuan mendalam tentang ilmu penternakan, pembakaan dan urusan perladangan haiwan. Justeru, dia selalu bercerita – serius atau berseloroh – tentang pelbagai hidupan yang menjadi sebahagian daripada rutin hariannya. Daripada lembu, kerbau, burung walit, ayam hinggalah kepada najis lembu, najis ayam, bakteria, malah babi.

Ilmu hidupan itu kemudian tidak dipersiakan begitu saja. Brirasa banyak memanfaatkan ilmu itu untuk digaubngkan dengan kemahirannya berpuisi. Maka, gabungan ilmu sains, bahasa puitis dan kecenderungannya memilih jalan romantis menjadikan Brirasa berdiri sebagai penulis yang tersendiri.

Ketika sesetengah penulis memilih untuk meratap menghiba, atau bersikap lebih polos mempersoalkan pergulatan hidup, Brirasa kekal memilih jalan romantis dan harmoni bagi menyoal kebejatan semasa.

Sesekali, Brirasa akan mengusik rakan-rakan melalui SMS jika ada isu tertentu yang menyentuh deria seninya. Kadang-kadang, dia berterus-terang melambung “bola’ untuk melihat reaksi kawan-kawan terhadap sesuatu perkembangan, tetapi dalam keadaan tertentu, dia memilih untuk bercakap melalui Mat Da – watak misteri yang sering digunakannya dalam penulisan prosa atau blog.

Secara bersahaja dan lebih sering secara gurauan, Mat Da menjadi jurucakap untuk Brirasa menyoal keganjilan hidup. Misalnya, Mat Da mengusik Brirasa – dan kita semua – dengan SMS-nya: “Kalaulah kedai makan Cina semuanya halal, dah banyak kedai Melayu bungkus!”

Mat Da juga sesekali bersuara garang: “Woi! Betui ka politik Malaya lebih busuk dari najis?”, selain ‘pepatah’ ya ng nakal: “Sepandai-pandai manusia, akhirnya minum air liur burung juga!” SMS nakal Mat Da yang lain: “Hang tau dak? Katak paling menyampah kalau orang kata dia menyanyi sedap. Sebabnya kalau sedap hujan tak turun.”
Itu sisi nakal dan vokal Brirasa.

Untuk sisi harmonis dan romantis, Brirasa tampil dengan siri labun Pak Lang. Biasanya dia memilih sajak untuk menzahirkan watak Pak Lang. bersama imej dan imejan tertentu, terutama Gunung Keriang, bendang (sawah) dan suasana perkampungan di Kedah. Misalnya:

Dan ini ketikanya
harimau menjadi
harimau jadian
meramahi kandang-kandang
kambing dan lembu,
di kampung Pak Lang
yang dikekalkan
tradisi klasik kemunduran
sejak 50 tahun dahulu.

Apa mahumu datok harimau? (Sajak Pilihan Raya 1)

Tanah warisan moyang marhaen
lanyau emping melampung di dasar jelapang
megah mewah banglow di bucu kiri
dari gunung mengalir sendu sebatang sungai
pandang depan, merentang jalan turap tidak siap
di belakang gunung kaku tinggal sebelah.

Sebidang bendang pak lang
telah lama usang terbiar rang
sepi sudah lonjak haruan, kilau keli
puyu, sepat dan sempilai pupus benih
kunang-kunang malu di penjuru senja
lalang kering disanggau ribut debu.

Mengenang pesan pak lang
“terokalah bendang sebidang ini,
tanamlah dengan benih terpilih
randuklah deret dara padi,
bertingkah alu dan antan, canda emping,
di malam terang bulan,
nanti, tuailah antara masak
esok-esok jelapang penuh berkat”

Sebidang bendang pak lang
di sini aku menjadi saksi sepi
geran tanah bertukar cop pindah milik
aroma selut pun kelat di puncak gunung. (Sajak Sebidang Bendang Pak Lang)

Sangat ketara bahawa penulis serba sederhana bernama Brirasa ini sentiasa peka dan tajam pula bahasanya mengangkat pelbagai isu semasa untuk difikirkan bersama. Dalam bersahaja dan melalui bahasa yang harmonis, pembaca akan dipanah secara spontan dan kadang-kadang tidak begitu terasa kepedihan dek lunaknya sajak dia.

Itu kelebihan Brirasa yang jarang ada pada penulis lain.

Sebenarnya, dalam ramah dan mesra Brirasa, dia adalah lelaki perahsia. Di kalangan rakan penulis, amat jarang dia bercerita tentang kehidupan peribadinya, sama ada keluarga, pekerjaan atau aktiviti senggangnya. Sesekali, kenalan hanya dapat mengagak daripada catatan ringkas dalam blog, borak-borak di kedai kopi, sembang SMS atau rakaman lensa kameranya.

Dan difahamkan, di rumah Brirasa juga agak berahsia mengenai rakan dan aktiviti seninya.

Pada 17 Mac 2010, Brirasa meninggalkan catatan ringkas pada blog awalnya (www.esasterawan.net/brirasa): “Aku berpindah ke rumah baru.” Ia tidak membawa banyak makna, sehinggalah pada pagi 14 Februari lalu apabila dia benar-benar berpindah ke rumah baru. Rumah abadi.

Tiada ulasan: