27 Jan 2015

ada apa dengan presiden jokowi



Lelaki diberi nama Kolai itu mungkin pernah menyangka hidup tidaklah sesulit mana. Dengan sebuah rumah di pesisir pantai menghadap Laut Barents, dia sepatutnya boleh berbahagia sehingga akhir hayat dengan adanya seorang isteri, Lilya, dan anak daripada perkahwinan pertamanya, Roma.

Sederhana dan bahagia adalah gambaran tepat mengenai hidup Kolai ketika dia dikelilingi ramai teman – sehinggalah muncul watak Vadim si datuk bandar yang bernafsu besar di sebuah pekan kecil untuk memiliki tanahnya.


Ketika itu, satu demi satu tabir yang mengepung hidup Kolai terdedah. Akhirnya dia menyedari ‘rakan’ yang mengelilinginya selama ini bukanlah sahabat sejati, sebaliknya golongan opurtunis yang menumpang tuah atas kemahiran Kolai sebagai mekanik mahir.


Seksa Kolai tidak berakhir di situ. Untuk menghadapi Vadim, Kolai meminta bantuan daripada rakannya yang dikenali ketika mereka sama-sama menjadi tentera Russia dulu, Dmitri. Kini bekerja sebagai peguam lihai, Dmitri memang menyelamatkan Kolai  – sekurang-kurangnya untuk sementara. Namun seperti kelaziman lain, setiap sesuatu itu ada harganya. 


Bagi Kolai, harga yang perlu dibayar atas bantuan Dmitri ialah kecurangan isteriya yang kemudian diketahui berselingkuh dengan peguam itu.


Kemudian Vadim si koruptor muncul lagi untuk memaksa Dmitri kembali ke Moscow. Tanpa sokongan Dmitri, Kolai terpaksa bersendirian berdepan dengan kuasa Vadim yang terus ghairah mahu memiliki tanah di pesisir pantai itu.


Lilya – terbeban dengan sikap Kolai yang pemaaf – akhirnya membunuh diri. Dan Kolai dijadikan suspek kepada kematian wanita itu.


Kolai dipenjara selama 15 tahun. Anak lelakinya, Roma, yang masih belasan tahun dipelihara keluarga lain yang sebenarnya bukan jujur mahu membantu, sebaliknya menjadi lintah darat dengan mengambil kesempatan daripada wang bantuan bulanan kerajaan untuk membesarkan Roma. 


Rumah Kolai akhirnya tinggal sekadar catatan sejarah.


Presiden Jokowi pastilah bukan si Kolai. Juga bukan Bambang Widjojanto yang tersepit di antara perseteruan pasukan polis Indonesia dan agensi antirasuah negara itu yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini kian dihormati.


Dalam kemelut itu ada pula tokoh bernama Budi Gunawan. Juga muncul semula nama bekas presiden yang juga Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan, Megawati Sukarnoputri, serta Ketua Umum Parti Nasional Demokrat, Surya Dharma Paloh.
Kedua-dua parti itu adalah kumpulan utama yang menyokong Jokowi untuk menyertai pilihan raya presiden pada tahun lalu.


Dalam kemelut semasa, politik Indonesia menemui makna baru kepada akronim KMP yang sebelum ini diertikan sebagai Koalisi Merah Putih. Jika dulu KMP adalah sinonim dengan gabungan Prabowo Subianto – Hatta Rajasa, kali ini akronim itu menjadi lelucon mentertawakan Jokowi sebagai Koalisi Megawati Paloh.


Kemelut pelantikan Ketua Polis Indonesia yang baru bukan saja menelanjangkan lagi sisi hodoh politik Indonesia, malah menguji kesungguhan Jokowi mencipta sebuah negara yang tegar menentang rasuah, iaitu ungkapan yang menjadi matera beliau ketika melobi rakyat supaya memilihnya sebagai presiden pada tahun lalu.


“Presiden sedang dikelilingi penjahat,” kata Zulhabri Supian ketika dia ditanya pendapatnya mengenai Jokowi. Sebelum ini dia adalah seorang daripada pengagum bekas Gabenor Jakarta itu.


Persepsi kebanyakan orang ialah, ketika ini Jokowi banyak menjadi tokoh politik yang masih terperangkap di bawah bayang-bayang Megawati.


“Jokowi boleh, kalau mahu. Tapi pada ketika dia campur tangan dengan lebih mendalam untuk menyelesaikan kemelut polis dan Komisi Pembanterasan Korupsi, kita akan lebih bersimpati kepada beliau kerana partinya sendiri bakal memusuhi,” katanya.


Ahli politik yang berpotensi seperti Jokowi tidak sepatutnya menjadi seperti si Kolai. Tapi itulah, di sekelilingnya ada ramai Vadim, Lilya dan Dmitri.



- harian metro, 27 januari 2015

Tiada ulasan: