11 Feb 2015

sunset di tanah anarki (judul asal: menanti damai di tanah anarki)



Bayangkan begini: Alam sekeliling gelap gelita kerana waktu baru jam 4 pagi. Bill Fernando Jumalon dan dua penembak tepat lain sedang terhendap-hendap bersama mesingan M240 untuk melaksanakan tugas khusus mereka.

Jumalon dan kawan-kawannya tiba di kawasan berkenaan dua jam lebih awal. Justeru, mereka berehat seketika. Ketika arahan diterima, Jumalon dan rakan setugasnya segera mencari sasaran sebelum membidik pemicu pada senjata api mereka.

Bayangkan juga tiba-tiba ada suara manja seorang wanita bernyanyi:
Andai ku malaikat ku potong sayap ku
dan rasakan pedih di dunia bersamamu
perang kan berakhir cinta kan abadi
di tanah anarki romansa terjadi

Peluru dilepaskan dan sasarannya ialah Zulkifli Hir, atau lebih dikenali sebagai Marwan - si lelaki yang didakwa pengganas oleh Barat dan sekutunya.

Ironis? Memanglah. Sebab dunia  bergerak dan berkembang kerana siri pertembungan ironis itulah.

Kematian Marwan bukan penamat drama di Mamasapano di wilayah Maguindanao itu, bahkan ia adalah permulaan kepada pertempuran yang lebih sengit. Komando polis yang menyertai operasi itu diserang - menurut kata pasukan keselamatan - oleh Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Sememangnya selatan Filipina yang didiami ramai Muslim itu menjadi wilayah pentadbiran MILF, manakala BIFF adalah kumpulan serpihannya.

Ia bukanlah pertempuran pertama antara pasukan keselamatan Filipina dengan MILF. Perseteruan itu terjadi dan terjadi lagi berulang-ulang, seolah-olah ada pihak yang kecewa jika selatan Filipina itu aman.

Sebelum ini pun ada pertempuran sengit terjadi antara kedua-dua pihak dengan suatu ‘kebetulan’ yang sama, iaitu menjelang termeterainya perjanjian damai antara MILF dengan Manila.

Misalnya pada Julai 2008 MILF dan Manila bersiap-siap memuktamadkan perdamaian hasil rundingan antara ketua panel perunding dilantik kerajaan, Rodolfo Garcia dan Penasihat Presiden Filipina, Hermogenes Esperon dengan Ketua Perunding MILF, Mohagher Iqbal.

Namun pada 4 Ogos, melalui usul dikemukakan pihak tertentu, Mahkamah Agung Filipina membuat ketetapan mengeluarkan sekatan sementara bagi menghalang perjanjian damai itu ditandatangani pada keesokan harinya.

Beberapa bulan berikutnya sejumlah komander MILF dituduh menggerakkan kempen melawan kerajaan. Ekoran dakwaan itu, tentera menghantar 10 batalion membabitkan 6,000 tentera ke Mindanao.

Keganasan pun tercetus lagi di tanah yang tidak pernah lama aman itu. Kira-kira 300 orang maut.

Pada 25 Januari lalu darah tumpah lagi di selatan Filipina. Watak yang terbabit tetap sama walaupun plot yang menggerakkannya berbeza.

Dengan alasan mahu memburu dua militan - Marwan dan Abdul Basit Usman - tentera memasuki wilayah MILF tanpa notis awal. 

Lebih menarik ialah, wujud laporan mendakwa komando polis tidak bersendirian melakukan operasi, sebaliknya dibantu alat yang “sangat efektif dan mampu menunjukkan lokasi dengan sangat tepat,” iaitu dron tentera Amerika Syarikat dari Zamboanga City.

Isunya ialah, apakah benar operasi itu memang mahu memburu Marwan semata-mata atau wujud tangan ghaib yang melaksanakan sabotaj demi kepentingan pihak tertentu?

Dalam politik wujud istilah khusus Deep State yang merujuk kepada suatu entiti dalam kalangan pasukan keselamatan yang bertindak mengikut arahan individu tertentu dan bukan pemimpin awam.

Di Britain mereka yang tergolong dalam Deep State ini digelar Men In Grey Suits (Lelaki Bersut Kelabu).

Entiti itulah yang disebut-sebut sesetengah pihak yang bertanggungjawab memenangkan Margaret Thatcher sebagai Perdana Menteri Britain selepas sebelumnya si Wanita Besi seolah-olah kalah kepada Micheal Haseltine.

Ia juga didakwa bertanggungjawab secara licik mengetepikan Suharto selepas sekian lama demonstrasi diketuai penuntut universiti gagal menggoyang kedudukan presiden berkenaan. Ia juga mungkin dapat menjelaskan mengapa kematian aktivis hak asasi manusia negara itu, Munir Said Thalib pada 7 September 2004 masih belum terungkap sehingga kini.

Apakah mustahil Presiden Benigno Aquino  dan sebelumnya, Gloria Macapagal Arroyo  juga menjadi bidak  percaturan entiti itu?

Agak jelas bahawa ada pihak yang enggan melihat keamanan dicapai di selatan Filipina.

Bayangkan lagi begini - dalam suasana Muslim di selatan Filipina terus menjadi mangsa, lagu Sunset Di Tanah Anarki oleh Superman Is Dead berkumandang lagi:
Dalam gelisahku menunggu berita 
tentang gerilyamu
semerbak rindu 
kuasai udara panas ini
sepucuk surat telah tiba 
dan senja pun ikut berdebar
kalimat dan indah kisahmu 
tentang perang dan cinta.

- harian metro, 9 februari 2015

Tiada ulasan: