4 Feb 2015

melawan takut, menolak lupa



Bersuami, kemudian diceraikan. Tiada pekerjaan - bukan kerana enggan, tetapi nasibnya memang begitu, tidak dipercayai.

Dia kemudian mempelajari muzik. Pilihannya itu ialah bermain biola dan piano.
Ketika berkerja sementara di syarikat agensi pelancongan milik keluarganya, dia bertemu seorang lelaki yang kembali 'mencairkan' hatinya. Neda Agha-Soltan kemudian bertunang dengan lelaki Turki itu, Caspian Makan, 37.


Neda bukan sesiapa. Dia tidak pernah penting pun. Dia bukan ahli politik, malah tidak berminat dengan parti politik. Dia cuma bekas siswa Universiti Islam Azad, Iran.


Cuma pada hari itu - 20 Jun 2009 - dia berkunjung ke Kagar Avenue bersama guru muziknya, Hamid Panahi untuk menyertai bantahan terhadap keputusan pilihan raya presiden yang memenangkan Mahmoud Ahmadinejad.


"Dia tidak boleh menerima ketidakadilan," kata Hamid.


Neda, 26, bukan aktivis politik. Juga tiada diketahui dia penyokong tegar mana-mana parti. tetapi dalam keadaan begitu, memetik kata si guru muzik, Hamid, apa yang diidamkan Neda ialah "suara rakyat diambil kira."


Mungkin itu juga yang dirasakan Shaimaa al-Sabbagh ketika dia bersama beberapa aktivis Parti Pakatan Popular Sosialis Mesir membawa kalungan bunga ke Dataran Tahrir.


Seperti kata jurugambar Mesir, Islam Osama, ia adalah hari yang biasa di Kaherah. 


"Jalan di sekitar tempat itu hampir kosong," katanya.


Tiada sesiapa menjangkakan tercetus huru-hara atau demonstrasi besar-besaran - sehinggalah polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru penabur untuk menyuraikan beberapa puluh orang, termasuk Shaimaa, yang berkumpul di lokasi ikonik Arab Spring itu.
 

Menurut Islam, hanya ada kira-kira 25 orang bersama Shaimaa dan mereka berjalan selama kira-kira cuma dua minit sebelum keadaan bertukar seluruhnya menjadi detik sejarah berdarah.

Sejurus kemudian, imej Shaimaa, 32, yang separa longlai didakap rakannya, Sayyed Abu el-Ela mula tersebar ke segenap pelusuk dunia.


Kemudian ada pula Keji Goto, seorang wartawan perang berpengalaman yang nekad berkunjung ke satu daripada lokasi paling berbahaya di dunia demi seorang rakan.


Anda boleh menggelar si Goto, 42, itu gila, kalau mahu. tetapi dia setakat ini membuktikan kadang-kadang persahabatan boleh melangkaui kewarasan. dan ketegasan (kerajaan) boleh membawa kematian.


Bagi seseorang yang gemar melayan sentimen melankolik, Neda, Shaimaa dan Goto adalah nama yang menyebakkan jiwa. tetapi ia bukanlah begitu semata-mata.


Neda memilih untuk menolak takut untuk bersama orang yang berasa mereka ditindas dan dipinggirkan. Si Shaimaa pula memilih untuk melawan lupa untuk terus mengenang kematian sekian ramai umat Mesir yang dibunuh ketika negara itu memanas dengan revolusi. Goto pula memilih menjadi berani untuk berdepan dengan kumpulan yang berasa mereka adalah umat terpilih dan diberi kuasa oleh Tuhan untuk menentukan hidup mati seseorang.


Neda belum sempat melihat sebuah piano yang dipesannya ketika dia menghembuskannafas terakhir pada hari itu.


Shaimaa pula barangkali sempat terbayangkan wajah anak lelaki tunggalnya ketika dia bergelut dengan kesakitan dan didukung rakannya ke tempat lebih selamat.


Dia terbunuh ketika mahu mengenang orang lain yang dibunuh.


Entah apa pula yang tergambar di minda Goto ketika militan menggunakan nama Islam memisahkan kepala daripada tubuhnya itu.


Neda dan Shaimaa dibunuh penguasa, manakala seorang lagi dimatikan pihak yang berasa amat berkuasa.


Pada bayangan wajah mereka, kita merasakan kepedihan yang amat lama. Dan mungkin abadi.



- harian metro, 3 feb 2015

Tiada ulasan: