26 Ogo 2010

perasaan perasan saya

Ketua Polis Kuala Terengganu digantung kerja?
Mat Zain Mat Isa
Thu | Oct 04, 07 | 12:39:17 pm MYT

Bayangkan sebuah akhbar harian arus perdana negara menyiarkan berita dengan tajuk, "Guna kekerasan surai protes di Batu Burok - Ketua Polis Kuala Terengganu digantung kerja". Isi laporannya pula dibaca kira-kira begini:

"KUALA TERENGGANU - Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu dan dua pegawai lain digantung tugas atas arahan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim hari ini berikutan kekerasan yang digunakan untuk menyuraikan protes rakyat di Batu Burok bulan lalu.

"Jurucakap Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Fulan bin Fulan berkata, Ketua Polis Kuala Terengganu; Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Terengganu dan seorang lagi pegawai kanan polis digantung tugas atas arahan Mahkamah Agung berkenaan.

"Ahmad Fairuz sebelum itu mengarahkan pihak berkuasa menangkap ketua polis itu selepas polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan protes rakyat yang membantah pembatalan perhimpunan di Batu Burok bulan lalu.

"Berpuluh-puluh orang cedera apabila polis menggunakan belantan dan gas pemedih mata ke atas sekumpulan orang awam semasa protes dan bantahan pada 8 September lalu. Dua daripada orang awam malah parah ditembak anggota polis."

Apa perasaan anda sekiranya laporan akhbar tadi benar-benar wujud? Jangan mimpi! Apa pun perasaan anda, yang pasti berita itu tidak logik langsung. Demi Allah, hakikat sebegitu tidak akan menjadi realiti di negara kita.

Apa yang dicoretkan di aas tadi hanyalah imaginasi penulis yang diubahsuai daripada laporan sebuah akhbar dua hari lalu. Anda boleh menatap berita sebenarnya di Utusan Malaysia, 2 Oktober di ruangan Luar Negara. Ia sebenarnya melaporkan isu keganasan polis dan pihak berkuasa di Pakistan. Sebagai perbandingan anda, berikut adalah sedutan sebenar laporan dimaksudkan itu:

Tajuknya, "Guna kekerasan surai protes anti-Pervez - Ketua polis digantung kerja".

"ISLAMABAD 1 Okt – Ketua Polis Islamabad dan dua pegawai lain digantung tugas atas arahan Ketua Hakim Pakistan, Iftikhar Muhammad Chaudhry hari ini berikutan kekerasan yang digunakan untuk menyuraikan protes anti-Presiden Pervez Musharraf kelmarin.

"Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Brigadier Javed Cheema berkata, Ketua Polis Islamabad, Marwat Shah; Timbalan Ketua Pentadbiran Islamabad dan seorang lagi pegawai kanan polis digantung tugas atas arahan Mahkamah Agung berkenaan. "Iftikhar sebelum itu mengarahkan pihak berkuasa menangkap Marwat selepas polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan protes menentang Presiden Pervez kelmarin.

"Berpuluh-puluh orang cedera apabila polis menggunakan belantan dan gas pemedih mata ke atas sekumpulan peguam dan wartawan semasa protes membantah rancangan Pervez untuk bertanding semula pada pemilihan Presiden di Parlimen pada Sabtu ini.

"Ketua Polis Islamabad, Marwat Shah hendaklah digantung tugas dan ditangkap kerana dia bertanggungjawab terhadap segala yang berlaku kelmarin,” kata Iftikhar kepada Setiausaha Dalam Negeri, Kamal Shah."

Itulah berita yang sebenar. Apa yang berlaku di Pakistan itu bagaimana pun memang banyak bersamaan dengan kes Batu Burok tempohari, sebagaimana dibuktikan menerusi imaginasi berita di atas tadi.

Bahkan, apa yang berlaku di Pakistan sepatutnya lebih tidak munasabah. Kerana yang diprotes rakyat di sana ialah Presiden mereka sendiri. Kalau di negara kita, sudah tentu tidak akan ada pihak yang berani menyalahkan pihak polis jika bertindak ke atas kumpulan yang memprotes ketua negara.

Dalam hal ini, rakyat Pakistan nampaknya lebih beruntung kerana kuasa ketua hakim negaranya mengatasi kuasa parti pemerintah dan juga pasukan polis. Bayangkan, jika negara kita juga mempunyai penjawat seperti Iftikhar beserta kuasa yang ada padanya itu.

Sudah tentu pihak polis tidak akan sewenang-wenang melepaskan gas pemedih mata atau menghayun cotar sehingga mencederakan orang awam, sebagaimana yang mereka lakukan di Batu Burok tempohari.

Bahkan, dalam sejarah perjuangan parti-parti pembangkang negara ini, khususnya PAS, insiden melibatkan bedilan gas pemedih mata oleh pasukan polis ke arah orang awam di perhimpunan parti itu bukan pengalaman baru. Batu Burok adalah insiden yang entah ke berapa.

Sebelum itu sudah ada insiden Bukit Keluang, Seberang Takir, Sura, Batu Rakit, Batu Enam dan Mak Chili (semuanya di Terengganu juga) dalam dua dekad kebelakangan ini. Insiden-insiden serupa juga pernah berlaku ke atas para penyokong PAS di Kedah, Kelantan (sebelum pemerintahan PAS), Perak dan Selangor dan lain-lain negeri.

Konflik yang berlaku di Myanmar juga satu lagi episod yang menarik perhatian media dunia. Di antara perkara utama yang sering diutarakan media, termasuk media negara kita, ialah mengenai tindakan pihak berkuasa negara itu menggunakan kekerasan bagi menyuraikan bantahan dan protes rakyatnya.

Pelbagai pihak menyuarakan pandangan dan ulasan yang sebahagian besarnya menganggap pendirian dan tindakan junta pemerintah negara itu sebagai tidak berperikemanusian dan melanggar hak asasi.

Harian Metro, 1 Oktober lalu mengulas mengenai konflik di Myanmar. Penulisnya, Al-Abror Mohd Yusuf, memilih “peluru bukan jawapan” untuk tajuk rencana itu. Berikut dipetik beberapa bahagian rencana tersebut:

"Daripada sebuah negara yang meletakkan sami dan Buddha di tempat amat terhormat, pemimpin tentera dan polis tergamak mengarahkan anggota mereka melepaskan tembakan kepada kelompok itu tanpa belas kasihan.

"Dalam suasana genting dan wajib mempertahankan kuasa, junta tentera ternyata tenggelam punca untuk mencari penyelesaian, lalu memilih peluru dan kekerasan untuk menjawab desakan rakyat.

"Ketika golongan sami diketahui tidak memiliki sebarang senjata dan hanya menggunakan suara untuk menyatakan pandangan, pemerintah nampaknya hanya terbuka untuk berkomunikasi dengan peluru.

"Entah jelmaan seumpama apakah barangkali diigaukan junta tentera ketika berhadapan dengan rakyatnya sendiri sehingga tergamak melepaskan tembakan. Walaupun lumrah seseorang anggota keselamatan dihormati kerana kesetiaan dan sikap keperwiraan menjaga negara dengan nyawa mereka sendiri, melepaskan tembakan ke arah orang awam yang tidak bersenjata dan mengancam mereka adalah sifat amat bacul.

"Ia kira-kira sama seperti seorang pendekar amat hebat melepaskan pukulan maut kepada seorang budak yang secara bergurau membaling pasir ke mukanya. Malah, barangkali istilah 'bacul' itu sendiri tidak memadai untuk menggambarkan sikap keras anggota keselamatan memilih peluru ketika mengawal kemarahan rakyat."

Menarik, bukan? Susunatur ayat dalam ulasan tersebut juga bersesuaian untuk dipadankan dengan insiden di Batu Burok, 8 September lalu. Dalam ertikata lain, bagaimana pemahaman anda jika beberapa perkataan dalam rencana itu ditukar, misalnya, junta tentera itu disebut sebagai kerajaan Barisan Nasional, golongan sami itu dinamakan ulama dan ustaz, dan Yangoon, Myanmar itu ditukar menjadi Batu Burok, Terengganu? Serupa, bukan?

Laporan dan ulasan mengenai konflik di kedua-dua negara asing tadi menjurus kepada satu kesimpulan, iaitu seluruh dunia mengutuk sebarang penggunaan kaedah kekerasan untuk menyuraikan protes atau bantahan rakyat.

Apatah lagi jika tindakan keras itu bukan setakat hayunan belantan dan bedilan gas pemedih mata, malah turut disertai tembakan peluru yang merisikokan nyawa orang awam.

Dalam kes Batu Burok, insiden tembakan peluru hidup inilah yang cuba sedaya mungkin ditutup oleh BN. Sebab itu mereka memanipulasi sehabis daya segenap ruang media untuk memperbesarkan isu bakar bendera. Hasrat mereka dengan memperbesarkan isu tersebut, isu tembakan peluru hidup oleh polis itu akan tenggelam.

Rakyat tidak sepatutnya mudah terseret dengan mainan media BN itu sehingga melupakan isu paling penting dari insiden Batu Burok, iaitu tembakan peluru hidup.

Bayangkan bagaimana rupa para pemimpin BN kalau ada pihak dalam negara kita yang ada kuasa seumpama Ketua Hakim Pakistan tadi _

sumber: http://www.hizbi.org/index.php?option=com_content&task=view&id=10139&Itemid=99999999

Tiada ulasan: